Tangan
mencapai telefon bimbit di atas meja. Tangan dilarikan di skrin. Unlock.
1 new
message.
Open. Mata
dilarikan membaca isi kandungan pesanan tersebut. Nafas ditarik. Perlahan. Exit.
Air mata jatuh, setitis. Sepertinya hati juga
sedang menangis.
Sahabatku, aku juga rindu kamu. Bahkan tersangat
rindu. Andai sahaja kau tahu betapa aku rindu waktu kita dahulu. Andai sahaja
kau tahu ada sahamnya kamu dalam setiap tadahan tanganku. Andai sahaja dapat
aku memberitahumu.
Kau kata, kau malu. Malu dengan diriku waktu ini.
Malu dengan penampilanku serupa ini. Malu dengan sifatku sekarang ini. Aku
sudah berubah. Malah sudah jauh berubah. Sedangkan kau masih di tempat yang
sama setelah sekian lama.
Sahabatku, aku pinta. Jangan malu denganku. Malulah
kamu dengan Tuhanku. Kerana aku juga sepertimu. Seorang insan biasa, seorang
hamba kepada Tuhannya. Aku ini tiada istimewanya. Aku hina. Banyak dosanya.
Tidak terhitung jika mahu dikira setiap satunya.
Aku punya pilihan. Aku pilih jalan ini. Aku pasti.
Tidak akan pernah berpatah kembali.
Tahu, kau juga punya pilihan. Pilihan untuk
mengubah hidupmu. Kau juga boleh berubah. Seperti aku, seperti dia, seperti
yang lainnya. Tiada apa yang mustahil. Cuma yang menentukan perubahan apa yang
kau pilih. Jalan apa yang kau pilih untuk ikuti.
Kalau benar kau mahu berubah. Pasti akan ada pintu
yang Tuhan buka untuk membantu. Pintu-pintu yang kau sendiri tidak sangka akan
bertemu dari tempat yang tidak pernah kau tahu. Aku juga pasti, Tuhan akan
menghantar orang-orang yang baik untuk bersamamu. Dalam apa jua keadaan, mereka
tetap akan teguh bersamamu. Menghulurkan tangan membantu, mengangkat apabila
tersungkur, menyedarkan dari kealpaan indah dunia itu. Mereka yang akan
bersamamu. Bersusah payah mempimpinmu untuk berubah.
Sahabat, andai sahaja kau tahu indahnya hidup
ketika diri sujud menghadap Ilahi. Andai sahaja kau tahu indahnya perasaan
ketika ditemani dengan redha dan syukurmu terhadap Ilahi. Andai sahaja kau tahu
keindahan sebenar dunia apabila sentiasa ditemani bayangan mati.
Aku pasti.
Bahawa kau tidak akan berlengah lagi. Kau tidak
akan berkata sekejap lagi. Kau tidak akan tunggu tibanya nanti.
Aku pasti.
Kau akan bersujud tika ini. Kau akan memohon ampun
saat ini. Kau akan redha atas ketentuan hidup yang diberi. Kau tidak akan
pernah berniat untuk kembali kepada kehidupan indah lampau yang hanya
berdasarkan duniawi.
Itu, aku pasti. Malah tersangat pasti.
Andai sahaja dapat aku terangkan perasaanku ketika
ini. Andai sahaja dapat aku berkongsi sedikit rasa hati. Andai sahaja dapat aku
beri rasa indah ini. Pasti sudah aku beri. Pasti sudah aku kongsi.
Aku mahu kau rasa perasaan itu. Perasaan indah
mencintai Ilahi. Perasaan indah yang langsung tidak dapat digambarkan dengan
kata-kata. Perasaan yang langsung tiada tolok bandingnya.
Andai sahaja dapat aku kongsi.
Sahabat, aku mahu kau tahu. Kau sentiasa ada dalam
doaku. Aku mahu kau tahu. Yang aku sentiasa mendoakanmu untuk menemukan jalan
terindah dalam hidupmu. Aku mahu kau tahu, aku mahu jadi temanmu. Selamanya.
Hingga ke syurga.
No comments:
Post a Comment